Friday, October 4, 2013

Kempen Alahan Protein Susu Lembu (CMPA)

Date : 9 April 2013
Venue : Skyview Room 7 , Level 29, The Gardens Hotel & Residences, Mid Valley City
Panel : Dr Chai Pei Fan ( Consultant Paediatrician & Consultant Paediatric Gastroenterologist & Hepatologist )

Sempena Minggu Alergi Sedunia 2013 (8-14 April), Persatuan Pediatrik Malaysia dan Persatuan Alergi & Imunologi Malaysia hari ini melancarkan Kempen Kesedaran Alahan Protein Susu Lembu (“Cow’s Milk Protein Allergy” atau CMPA) yang bertujuan meningkatkan kesedaran and mendidik ibubapa tentang CMPA di kalangan kanak-kanak. CMPA adalah alahan makanan paling lazim di kalangan bayi. Walaupun statistik agak terhad, susu dipercayai merupakan alahan makanan yang paling lazim dialami oleh bayi di Asia dan Malaysia.1 Namun begitu, ia sering disalah tafsir kerana kesannya merangkumi pelbagai tindakbalas alahan.

“Istilah terkini untuk alahan atau alergi yang diiktiraf oleh Pertubuhan Alergi Sedunia ialah sebarang tindakbalas hiper sensitif terhadap susu. Ia boleh dibahagikan kepada CMPA dan tidak toleransi laktosa. Kedua-dua keadaan ini adalah berbeza – tidak toleransi laktosa ialah ketidakupayaan untuk menghadam laktosa disebabkan kekurangan enzim laktase, manakala CMPA pula ditakrifkan sebagai tindakbalas alahan hiper sensitif terhadap protein susu lembu,” jelas Dr Amir Hamzah, Presiden MSAI.



Menurut kajian, CMPA boleh berlaku sejak bayi dilahirkan dan memuncak dalam tahun pertama. Ia biasanya reda dalam jangka masa tiga atau empat tahun. Namun begitu, kajian melibatkan 807 kanak-kanak yang mengalami CMPA mendapati masalah ini boleh berlarutan sehingga ke alam remaja bagi satu pertiga daripada kanak-kanak yang ditinjau, dengan 12% terus mengalami alahan terhadap susu lembu sehingga usia 18 tahun.1


“Simptom CMPA di kalangan kanak-kanak boleh berlaku beberapa minit selepas susu diminum. Ia bermula dengan keradangan kulit, masalah penghadaman, keradangan yang teruk dan juga berlaku kemungkinan tindakbalas alahan yang lebih teruk iaitu anafilaksis,” kata Dr Chai Pei Fan, pakar pediatrik dan ahli Kolej Pediatrik, Akademi Perubatan Malaysia. “Ibubapa perlu mengetahui masalah yang dihadapi dan mengambil langkah yang betul untuk menangani CMPA.”

Sebagai pembuka tirai kepada kempen ini, pada tahun lepas MPA dan MSAI telah melancarkan risalah ‘Panduan Pengurusan Alergi Protein Susu Lembu dalam Kanak-kanak 2012’ di kalangan pakar kesihatan. Panduan ini bertujuan untuk membantu pakar kesihatan mendiagnosis CMPA dengan tepat, membekalkan maklumat khusus dan cara-cara untuk menangani masalah ini dan memastikan kanak-kanak tersebut mendapat nutrisi yang mencukupi.

“Kami harap panduan ini akan menjadi sumber yang bermanfaat terutamanya di peringkat penjagaan awal, untuk membantu pakar kesihatan mengenalpasti sebarang simptom CMPA supaya mereka dapat membantu ibubapa menangani masalah ini dan melegakan ketidakselesaan anak mereka,” jelas Prof Lee Way Seah, Pengerusi Jawatankuasa untuk panduan tersebut.

Wakil-wakil MPA dan MSAI menggesa ibubapa supaya menggunakan Senarai Semakan Risiko Alergi CMPA dan mendapatkan nasihat perubatan jika anak-anak mereka mengalami sebarang simptom CMPA.

Prinsip Utama Dalam Rawatan CMPA2

Faktor terpenting dalam rawatan CMPA adalah penyingkiran protein susu lembu dari diet kanak-kanak tersebut. Formula gantian mungkin tidak diperlukan bagi bayi yang menyusu badan dan kanak-kanak berusia 2 tahun ke atas; ibu yang menyusu badan harus meneruskan penyusuan tetapi berhenti mengambil sebarang protein susu lembu.

Bagi kanak-kanak di bawah 2 tahun yang tidak menyusu badan, susu lembu boleh digantikan dengan formula gantian, di mana formula yang dinyahhidro secara extensif (“extensively hydrolysed formula” (EHF)) merupakan pilihan utama. Tidak seperti yang disangkakan, formula berasaskan soya adalah tidak sesuai bagi kanak-kanak di bawah 6 bulan kerana kesan jangka panjang bagi kandungan aluminium dan phytoestrogen yang tinggi masih tidak diketahui.

Kempen Kesedaran Alergi Protein Susu Lembu yang dianjur MPA dan MSAI meliputi program Pendidikan Perubatan Berterusan bersama pakar penjagaan kesihatan dan lain-lain inisiatif seluruh negara untuk meningkatkan lagi kesedaran dan mendidik para ibubapa. Kempen ini disokong oleh bantuan pendidikan tanpa syarat dari Institut Sains Dumex sebagai sebahagian dari visi syarikat untuk terus memberikan nutrisi terbaik untuk meningkatkan kesihatan kanak-kanak Malaysia.




No comments:

Post a Comment